Sunday 2 October 2011

MAK YUNG ...(3)

PERBENDAHARAAN CERITA
Cerita-cerita dalam Mak Yong menjalani beberapa tahap perkembangan. Ia bermula dengan cerita asas iaitu Dewa Muda, yang menceritakan tentang asal-usul Mak Yong. Berdasarkan cerita ini ia berkembang menjadi tujuh dan kemudian dua belas cerita. Dua belas cerita yang dianggap lengkap, asli dan cukup nilai seninya adalah:
  1. Dewa Muda
  2. Dewa Pencil
  3. Dewa Sakti
  4. Dewa Indera, Indera Dewa
  5. Dewa Panah
  6. Endeng Tejali:
i.             Anak Raja Gondang
ii.           Batak Raja Gondang
iii.          Bongsu Sakti
  1. Gading Bertimang
  2. Raja Tangkai Hati
  3. Raja Muda Lakleng
  4. Raja Muda Lembek
  5. Raja Besar dalam Negeri Nyiur Gading
  6. Bentara Muda

WATAK
Watak-watak penting dalam sesebuah cerita Mak Yong adalah:
  1. Pak Yong – menjadi raja atau pemerintah dan menjadi tulang belakang cerita Mak Yong.
  2. Pak Yong Muda – Watak utama atau hero dalam cerita Mak Yong. Watak inilah yang mengalami berbagai-bagai peristiwa dari saat ia dilahirkan hingga dewasa .
  3. Peran – bertindak sebagai pelawak, orang suruhan raja dan penasihat raja. Terdapat beberapa orang peran dalam sesebuah cerita. Seorang raja pasti mempunyai seorang Peran Tua biasanya memegang watak yang lebih penting dan Peran Muda.
  4. Mak Yong – Juga permaisuri dan dalam sesetengah cerita mengambil peranan yang penting sebagai watak utama.
  5. Puteri Mak Yong – sebagai heroin di dalam cerita.
  6. Dayang-dayang – terdiri daripada gadis-gadis manja yang juga bertindak sebagai penari atau pengiring Mak Yong atau Puteri Mak Yong.
  7. Watak ‘Supernatural’ – boleh bertindak sebagai watak baik dan jahat. Watak jahat seperti jin dan watak baik seperti alim ulama dari kayangan, watak ikan dan sebagainya. (Ghulam Srawar : 1976)

STRUKTUR PERSEMBAHAN 
Persembahan Mak Yong mempunyai struktur yang tersendiri. Strukturnya adalah sama dalam semua cerita yang dimainkan. Setiap cerita bermula dengan upacara semua penari dan pelakon akan keluar duduk mengadap rebab di mana watak utama akan menyanyikan Lagu Mengadap Rebab dan diikuti oleh tarian dan nyanyian yang di sambut oleh korus atau jong dondang. Selepas tarian ini mereka akan menarikan Tarian Sedayong Mak Yong. Selepas itu, semua yang terlibat akan masuk meninggalkan Pak Yong, watak utama yang akan berada di pentas. Pak Yong akan menyanyikan lagu Sedayong Pak Yong dan kemudiannya memanggil Peran Tua. Peran Tua akan muncul dan Pak Yong akan mengarahkan Peran Tuan untuk pergi memanggil sahabatnya Peran Muda. Tinggallah Peran Tua untuk memanggil sahabatnya dan beliau akan menyanyikan Lagu Saudara dalam perjalanan memanggil Peran Muda. Selepas itu bertemulah kedua Peran. Mereka akan bertemu dengan Raja mereka iaitu Pak Yong dan Pak Yong akan menceritakan masalah atau menitahkan sesuatu kepada kedua Peran. Di sinilah yang dipanggil ‘pecah cerita’. Dari sini barulah cerita Mak Yong akan berubah mengikut cerita apa yang dipersembahkan. Struktur yang begini akan ditemui dalam setiap persembahan Mak Yong.

LAGU-LAGU
Terdapat tiga puluh buah lagu yang dinyanyikan dalam persembahan Mak Yong bergantung kepada kesesuaian cerita.

a)    Lagu Mengadap Rebab
Lagu terpenting dalam Mak Yong, dimainkan semasa permulaan persembahan. Lagu ini merupakan simbol penghormatan kepada rebab dan semangat Mak Yong.

b)   Lagu Kijang Mas
Lagu ini digunakan dalam beberapa keadaan, selalunya dimainkan sebagai lagu instrumental semasa selingan sebelum permulaan persembahan Mak Yong.
       
          c)    Lagu Sindong
Lagu ini sama seperti lagu Kijang Mas, ia juga dinyanyikan oleh Pak Yong apabila mahu memberikan arahan kepada pengasuh atau jung dondang iaitu ensemble korus nyanyian. Selain itu ia juga dinyanyikan oleh Peran Tua.

d)   Lagu Sedayung
Untuk lagu ini terdapat Sedayung Pak Yong yang akan dinyanyikan oleh Pak Yong dan Sedayung Mak Yong yang akan dinyanyikan oleh Mak Yong. Manakala Sedayung Peran dan Sedayung Tonggek dinyanyikan oleh Peran. Lagu ini berfungsi sebagai lagu pendedahan untuk memaklumkan sesuatu kepada Peran atau penonton.

e)    Lagu Barat
Empat variasi lagu Barat ialah Barat Anjur, Barat Cepat, Gunung Barat dan Kisah Barat. Barat Anjur selalunya dinyanyikan oleh watak-watak utama apabila mereka masuk kali pertama ke pentas dan untuk memperkenalkan diri atau mengumumkan sesuatu kejadian seperti memanggil untuk berkumpul bagi penutup cerita, masuk semula ke pentas dan semasa perjalanan. Barat Cepat sering dinyanyikan dalam Mak Yong bagi menandakan pertukaran tempat atau lokasi atau penghabisan sesuatu adegan. Kisah Barat dan Gunung Barat merupakan lagu pendedahan (expository pieces).
f)     Lagu Mengulek
Permaisuri atau Mak Yong menyanyikan lagu ini apabila bermain-main dengan inang-inang atau juga lagu ini digunakan sebagai lagu untuk timang-timang anak atau juga semasa mengulek seseorang waktu tidur.

g)    Lagu Mengambo
Ia dinyanyikan oleh Pak Yong, Mak Yong atau watak-watak utama di pertengahan cerita dalam adegan sedih apabila hendak meluahkan perasaan pilu.

Lagu-lagu lain adalah:
  1. Saudara
  2. Pak Yong Muda
  3. Mak Yong Muda
  4. Tok wak
  5. Pikir
  6. Yur
  7. Balik Padi
  8. Khabar
  9. Gading Timah
  10. Kajol
  11. Buluh Seruas
  12. Jamba
  13. Yo Peran
  14. Anak Kumbang
  15. Dayung Sampan
  16. Mek Puyuh
  17. Tari Inai (Ragam)
  18. Kisah Puteri Mak Yong
  19. Mengadap Raja
  20. Sabar
  21. Berlari Hambat Rusa (lagu berjalan)

MUZIK
Muzik adalah aspek integral di dalam Mak Yong. Ia merupakan degup yang membawa persembahan Mak Yong, membentuk suasana serta menetapkan langkah dan tempo. Bilangan alat muzik dalam ensemble Mak Yong berbeza-beza mengikut kumpulan tetapi alat muzik yang asas adalah:
  1. Rebab
  2. Gendang ibu
  3. Gendang anak
  4. Sepasang tetawak (gong)
Namun sebilangan kumpulan Mak Yong telah menambah alat-alat muzik Wayang Kulit Kelantan seperti serunai, sepasang geduk, sepasang gedombak, sepasang canang dan kesi untuk menambah kepada unsur-unsur bunyi di dalam Mak Yong.

ALAT2 MUZIK
Muzik ialah unsur yang sangat penting dalam makyung dan fungsinya ialah:
1.       Bunyi alunan muzik terutamanya daripada rebab digunakan untuk menarik penonton dan memaklumkan bahawa pementasan makyung akan bermula.
2.       Muzik digunakan untuk membentuk suasana yang menggambarkan emosi dan perasaan di setiap adegan. Selalunya suasana ini digambarkan dengan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh watak-watak utama dan juga korus (jong dondang).
3.       Muzik digunakan untuk mengiringi tarian dan nyanyian.
4.       Muzik digunakan untuk menandakan permulaan dan penamatan adegan-adegan; keluar dan masuk watak juga diiringi oleh muzik (terutama bunyian gendang) diselitkan antara dialog-dialog.

Kumpulan Muzik Makyung yang lengkap mengandungi alat-alat:-
1.      Tawak atau Gong
          Tawak ibu, yang lebih besar daripada tawak anak, diperbuat daripada tembaga. Bunyian tawak ibu lebih rendah daripada bunyian tawak anak. Kedua-duanya digantung dan dipisahkan oleh dua batang kayu yang dinamakan mengembang. Pemukulnya diperbuat daripada kayu yang hujungnya dibalut dengan kain atau kepingan getah.

2.      Gendang Ibu dan Gendang Anak
          Kedua-duanya berbeza dari segi saiz dan bunyi. Muka besar ditutup dengan belulang lembu manakala muka kecil ditutup dengan kulit kambing.

3.      Canang
          Canang anak dan ibu diperbuat daripada tembaga. Perbezaan antara dua canang ini akan hanya dapat dikesan melalui bunyi yang dihasilkan oleh alat muzik tersebut.

4.      Kesi
          Kesi mempunyai dua bahagian, piring dan kicah (empat piring dan dua kicah) yang diperbuat daripada besi.

5.      Serunai
          Serunai mempunyai empat bahagian iaitu pipit, mali, batang dan copong. Tiap-tiap bahagian ini boleh dipisahkan.

6.      Rebab
          Rebab mempunyai tiga bahagian iaitu pucuk rebung, batang dan muka. Tempurung muka diperbuat daripada kayu nangka atau sena dan ditutup dengan kulit perut lembu.


          Pada dada (muka) di penjuru kiri terdapat satu lubang seluas satu inci dan ditutup dengan penutup yang dinamakan ‘susu’ atau ‘tetek’. Fungsinya ialah untuk mengimbangkan tekanan udara dalam dan luar. Batangnya diperbuat daripada kayu nangka atau sira. Pada masa dahalu tali rebab diperbuat daripada benang besar dan kemudian menggunakan benang kasar. Sekarang digunakan tali gitar, gambus atau biola. Penggesek rebab diperbuat daripada kayu dan tali tangsi.

          Ahli muzik yang terpenting dalam kumpulan muzik makyung ialah pemain rebab yang dikenali dengan nama Tok Minduk. Beliau adalah ketua dan juga “pemimpin” kumpulan muzik itu. Beliau memulakan semua lagu sepanjang 8 hingga 16 ‘measure’ yang selepas itu diikuti oleh gendang, gong, suara penyanyi solo dan korus.
         
          Beliau yang memberi isyarat memulakan lagu, menukar rentak dan hal-hal lain mengenai aspek muzik. Tok minduk dan ahli muzik lain menghafal kesemua lagu-lagu makyung. Ia juga menjalankan istiadat buka panggung. Ahli-ahli muzik ditempatkan di sudut kiri pentas dan tok minduk duduk mengarah matahari jatuh.

          Unsur nyanyian dalam makyung diselenggarakan oleh kesemua pelakon dan juga ahli-ahli muzik. Pelakon utama akan mula menyanyi empat atau lapan ‘measure’ selepas pendahuluan dilakukan oleh tok minduk. Rangkap ini akan dinyanyikan semula oleh korus dan juga ahli-ahli muzik. Senikata sahaja yang berubah. Dalam nyanyian, suara dan rebab menyelenggarakan melodi, gendang dipukul bertingkah dan gong menandakan ‘measure’ atau bilangannya.

No comments:

Post a Comment