Sunday 2 October 2011

MAK YUNG ...(1)

SEJARAH DAN ASAL USUL
Makyong lahir di istana Melayu Patani kira-kira 400 tahun yang lalu dan kemudian tersebar ke negeri di Timur Semenanjung, terutamanya Kelantan. Kita tidak dapat mempastikan dari mana asal perkataan makyong atau erti sebenarnya perkataan itu. Besar kemungkinan ia berasal dari satu upacara pemujaan roh-roh; dan mak hiang atau roh ibu yang juga roh padi. Dalam persembahan makyong dia mungkin berlagak seperti perantaraan mewakili raja dan rakyatnya bagi tujuan meminta sesuatu. Pada permulaan persembahan makyong, seorang bomoh bertindak sebagai Shaman atau orang perantaraan akan hadir. (Siri Mengenal Budaya 1/2003 MakYung, kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan)

Sebahagian menyatakan bahawa Makyong berasal daripada sebuah tempat iaitu Tanah Serendah Sepagar Ruyung di Ulu Terengganu. Terdapat sebuah keluarga di mana ayahnya dikenali sebagai Pakyung, ibunya pula Makyung dan anaknya dipanggil sebagai Anak Yung. Keluarga ini telah membuat persembahan untuk mengisi masa lapang mereka. Apabila persembahan mereka diketahui sehingga pengetahuan raja, maka keluarga ini telah disuruh untuk menunjukkan di hadapan raja. Oleh sebab raja amat berpuas hati dengan persembahan itu maka ianya dikenali sebagai Permainan Makyong. (Mohamed Ghouse Nasuruddin. Teater Tradisional Melayu)
Bermula dari situ, Permainan Makyong hanya khusus untuk raja-raja sahaja. Makyong merupakan persembahan yang menggabungkan:
  1. Lakonan
  2. Nyanyian
  3. Tarian
Persembahan makyong ini juga adakalanya dipertontonkan selama berhari-hari sehingga menjangkau 7 hari berturut-turut tanpa henti.
Menurut Mubin Sheppard, (Taman Saujana) mengatakan bahawaha Mak Yong ada kaitannya dengan ‘Ma Hiang’ iaitu semangat padi. Yong atau Yang adalah satu perubahan iaitu Hiang, berkenaan terhadap ketuhanan. Ma Hiang iaitu ibu semangat dimana dipercayai untuk memohon perlindungan dan kesuburan untuk setiap tanaman padi. Ada juga kemungkinan dikatakan perkataan ini mempunyai hubungannya dengan perkataan moyang atau Poyang. Beliau juga menyatakan bahawa Makyong merupakan “hiburan daripada generasi raja-raja” yang diwarisi daripada raja Kelantan. Selain daripada itu juga kemungkinan makyong ini turut dimainkan bagi golongan raja Langkasuka, Ligor dan Patani.        
Menora juga dikaitkan dengan persembahan makyong ini. Menora yang berasal daripada Thailand kira-kira 2000 tahun yang lalu mula diperkenalkan di Kelantan pada awal abad ke-19. Menora juga dikenali sebagai Lakon Chatri, mempunyai persamaan dalam bentuk persembahan di mana pelakonnya terdiri daripada semua lelaki sahaja. Cerita-cerita yang selalu di sampaikan berdasarkan cerita-cerita Jataka. Jataka merujuk kepada cerita-cerita rakyat masyarakat India. Kebanyakkan cerita telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Salah satu cerita yang popular ialah Anak Raja Gondang. Di dalam persembahan Menora, unsur-unsur ritual banyak diamalkan. Ciri-ciri ini juga terdapat di dalam persembahan makyong di mana fungsinya adalah untuk proses penyembuhan yang sama seperti persembahan Main Teri.  Lagu dan tarian berfungsi untuk menyeru semangat bagi memulihkan kesihatan dan juga emosi.
Sebahagiannya pula menyatakan bahawa makyong berasal daripada suku kaum Mon-Khmerdi mana makyong ini dipersembahkan di hadapatan Raja Jayavarman VII, Raja Angkor (1811-1818). Raja Angkor mempunyai hubungan rapat dengan Raja Pattani dan kedua-dua raja ini menganuti agama Buddha. Berdasarkan penerimaan orang Pattani terhadap makyong ini, maka makyong telah dibawa masuk ke Patani dan mengalami asimilasi budaya Pattani secara tidak langsung.
Daripada Thailand, makyong ini dipercayai turun ke negeri pantai timur Tanah Melayu iaitu Kelantan dan Terengganu. Sehubungan dengan itu juga, kedua-dua negeri ini adalah di bawah pengaruh jajahan Pattani.
Oleh yang demikian tidak hairan kiranya Makyong ini dikatakan mempunyai elemen-elemen animisme di dalam persembahannya. Hal ini adalah disebabkan oleh berlakukan satu asimilasi dalam khidupan manusia sejagat. Makyong merupakan satu tarian Melayu yang begitu unik dan halus sifatnya. Ia merupakan satu kombinasi dari unsur-unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang dipentaskan secara teater keliling. Pelakonnya terdiri daripada gadis-gadis muda dan jelita yang mengambil semua peranan lelaki dan perempuan kecuali watak-watak komedi atau ‘peran’. Lahirnya keadaan begini kerana makyong merupakan hiburan bagi permaisuri-permaisuri dan puteri-puteri raja. Oleh kerana bimbang sekiranya mereka ini jatuh hati kepada pelakon-pelakon makyong semasa raja atau pembesar-pembesar meninggalkann istana untuk menjaga keselamatan negeri dan lain-lain tugas di luar istana maka pelakonnya terdiri daripada perempuan sahaja.
Kemuncak kepada perkembangan makyung adalah semasa pemerintahan keluarga diraja Kelantan, Tengku Temenggung atau Long Abdul Ghaffar ibn Sultan Muhammad II (1879-1935) atau turut dikenali sebagai Tengku Petra, Tengku Seri Temenggung dan Tengku Petra Dalam Kebun. Beliau telah menghimpunkan pemain-pemain Makyung dari Pattani, Jambu dan Narathiwat di sebuah perkampungan yang dipanggil Kampung Tengku Temenggung. Di sini para pemain Makyung diberi pendidikan agama untuk menambahkan ilmu agama mereka. Kelas agama dijalankan di Masjid Muhammad dan kebetulannya kampong tengku Temenggung di Kota Bharu ini dikelilingi dengan sekolah-sekolah pondok dan berdektan dengan Masjid Muhammadi. Makanya, perkampungan ini juga turut menyemai bakat kesenian Mak Yong serta cuba mengasuh bakat muda untuk mewarisi kebolehan ini. Kematian Tengku Temenggung, penaung Makyung menjadi suatu membawa impak besar kepada kemerosotan masa depan Makyung di Kelantan itu sendiri. Kemudiannya Makyung bersinar kembali apabila Allahyarham Seniman Negara Khatijah Awang bersama suaminya Zakaria Abdullah (anak primadona Makyung Che Kemala Che Muhammad dan Abdullah Awang atau Abdullah Supar seorang peran makyung yang disegani menubuhkan kumpulan Makyung mereka yang diberi nama Kumpulan Seri Temenggung pada tahun 1969 sempena mengingati jasa Tengku Temenggung dalam dunia Makyung.

No comments:

Post a Comment